Pengenalan




Selamat datang ke laman web Macammana.com. Di sini, kami ingin berkongsi dengan anda pelbagai persoalan yang sering bermain di fikiran anda sama ada yang berkaitan dengan kehidupan harian, petua, pendapat, pendidikan, kraf, DIY mahupun berkaitan dengan teknologi maklumat. Boleh dikatakan hampir setiap hari, jam dan minit akan ada persoalan yang akan bermain di fikiran kita yang memerlukan jawapan segera. Laman web ini juga akan memberikan pelbagai ilmu pengetahuan yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian mahupun yang akan dapat memudahkan anda menyelesaikan tugasan seharian.

Teknologi Maklumat: Dahulu dan Sekarang

Di dalam dunia yang serba canggih ini, kita tidak dapat lari daripada penggunaan teknologi. Boleh dikatakan, setiap kehidupan kita berkisar dengan teknologi maklumat dan penggunaan internet. Jika suatu ketika dahulu, satu-satunya cara untuk kita berhubung dengan dunia maya adalah dengan menggunakan sebuah komputer desktop berserta monitor CRT yang disambungkan kepada modem dan talian telefon di rumah. Jika anda seperti saya, anda pasti merindui dial-uptone daripada modem 14.4 kbps anda. Betapa bersabarnya anda menunggu perkataan “connection established” pada skrin monitor anda. Anda log in ke mIRC, masuk ke channel #mamak, #kampung dan bersembang sampai tak ingat dunia. Ketika itu, anda terasa seperti anda telah keluar dari kepompong kehidupan anda yang membosankan. Anda telah berjaya memasuki suatu fasa yang menghubungkan anda keseluruh dunia. Bagaikan anda telah sampai ke New York, walaupun secara fizikalnya anda masih lagi sedang duduk di atas kerusi plastik di dalam bilik sebuah rumah yang disewa di Taman Ehsan, Kepong, Selangor, Malaysia.

Berbeza dengan sekarang di mana internet sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Segalanya hanya di hujung jari sahaja. Setiap orang pastinya mempunya sebuah telefon bimbit yang dilengkapi dengan pelan internet. Dan aplikasi yang WAJIB ada pada setiap telefon sudah semestinya Facebook dan Whatsapp. Tidak lupa juga, kanak-kanak seusia 2 tahun pun sudah pandai untuk mengakses ke Youtube bagi menonton pelbagai jenis video yang telah dimuat-naik oleh pengguna internet di seluruh dunia. Internet juga boleh diakses melalui paparan LCD yang terbina pada pintu peti sejuk di dapur anda. Peti sejuk yang serba canggih ini juga dapat mengesan sekiranya stok makanan anda semakin berkurangan. Ia akan secara otomatik akan menghubungi laman web pasaraya dalam talian dan memulakan pesanan untuk menambah semula stok peti sejuk anda. Teknologi seperti inilah yang mana sekarang ini dikenali sebagaiInternet of Things atau singkatannya IoT yang sudah menjadi trend di masa sekarang dan akan terus berkembang di masa hadapan.

Serba tahu

Di tempat kerja pula, sekiranya anda bekerja di bahagian Teknologi Maklumat contohnya, sudah pastilah anda menerima bermacam-macam soalan daripada pengguna anda. Walaupun Google sudah menyediakan satu platform yang terbaik dan merupakan enjin pencarian pilihan majoriti pengguna internet di dunia, mereka masih lagi “setia” menggunakan khidmat anda untuk mendapatkan jawapan kepada setiap permasalahan yang mereka hadapi.

Perkara seperti inilah yang telah mencetuskan idea untuk kami membina laman blog ini. Kami faham, interaksi dengan “manusia” itu lebih memuaskan berbanding skrip yang tersedia daripada enjin pencarian yang sedia ada di alam maya ini. Izinkan kami membantu anda. Kami akan cuba menjawab segala permasalahan anda, tak kisah sama ada yang berkaitan dengan IT, kraftangan, petua, pendidikan atau apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran anda yang memerlukan jawapan dan penyelesaian terbaik.

Dengan kata lain, biarkan kami tolong “Google-kan” untuk anda.

Hubungi Kami

Selamat membaca. Jangan lupa untuk Subscribe kepada blog ini untuk mendapatkan petua-petua, jawapan ataupun segala kemusyikilan, persoalan yang memerlukan jawapan dan penyelesaian. 

Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan, komen atau cadangan, hantarkan kepada kami melalui pautan Maklum Balas ini.